| May 26, 2008 |
| Surah Yaasin : Qalbu al-Quran?? |

Telah menjadi menjadi sesuatu yang masyhur di kalangan orang awam, mereka selalu membaca hadis : Inna likulli syai-in qalban wa -qalbul quraan yaasiin."Maksudnya,"Bagi setiap sesuatu itu ada hatinya, hati bagi al-Quran ini ialah Yasin."Hadis ini sebenarnya diriwayatkan oleh al-Imam at -Tirmizi, dengan beliau mengingatkan bahawa di dalam sanad ataupun rangkaian para periwayat hadis ini ada seorang yang bernama Harun bin Abi Muhammad, syaikhul majhul-seorang yang tidak dikenali. Para penganalisa hadis yang terdiri di kalangan para ulamak hadis menyemak sanad dan riwayat hadis ini dan menyimpulkan bahawasanya hadis ini adalah hadis yan palsu. Ini seperti yang disebut oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (rahimahullahu Ta'ala) di dalam kitabnya Silsilatul Ahadithi al-Maudhu' ah wad-Dha'ifah. Di dalamnya dinyatakan bahawasanya hadis ini adalah palsu. Kita hendaklah ingat bahawasanya hadis palsu adalah haram diriwayatkan oleh seseorang melainkan hendaklah diterangkan tentang kepalsuannya.Ini seperti yang disebut oleh Imam Ibnus Solah di dalam kitabnya yang masyhur berhubung dengan ilmu hadis, yang dikenali sebagai 'Muqaddimah Ibnus Solah'. Di dalamnya dinyatakan bahawasanya haram seseorang meriwayatkan hadis palsu melainkan hendaklah diterang tentang kepalsuannya. Hadis-hadis palsu ini muncul kerana seseoarng menyandarkan kepada Nabi SAW apa yang baginda tidak ucapkan. Mereka mengada-ngada dan mereka-reka ucapan -ucapan nabi ataupun pebuatan Nabi yang tidak sama sekali pernah dilakukan oleh Rasullullah SAW .Ulamak-ulamak hadis mengesan kepalsuan mereka, mengesan para periwayat yang memalsukan hadis ini. Inilah kepentingan ilmu hadis. Baginda SAW memberi amaran tentang akan berlakunya pemalsuan hadis pada akhir zaman. Kata baginda SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (dalam Muqaddimahnya) Maksudnya " Akan datang pada akhir zaman golongan dajjal dan pendusta, mereka akan membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah didengari oleh kamu dan emak bapa kamu. Hendaklah kamu berhati-hati dengan mereka. Inilah keadaan yang paling bahaya,dimana Rasullullah memberi amaran ,kata Baginda: "Sesungguhnya dusta kepadaku tidak sama dengan dusta kepadaku dengan sengaja maka siap tempat duduknya di dalam api neraka." Dalam sejarah pemalsuan hadis , ada beberapa golongan yang terlibat memalsukan hadis. Mereka sebahagian besarnya ialah golongan zanadiqah, iaitu mereka yang menzahirkan Islam sedangkan hati dan sanubari mereka memusuhi agama .Mereka ini merekai hadis-hadis yang akan mencemarkan kesucian agama, mencemarkan Rasul SAW. Di sebelah pihak yang lain golongan yang mereka hadis ialah golongan zuhhad, iaitu golongan yang cuba safkan diri mereka kepada kerohanian dan kesufian . Mereka kononnya ingin mengajak orang supaya lebih mendekati agama, dengan mereka hadis-hadis yang tidak pernah diucapkan oleh Nabi. Antara fokus rekaan mereka ialah hadis yang berhubung dengan fadhilat-fadhilat surah, yang membabitkan berbagai-bagai surah. Ini yang seperti dilakukan oleh Abu Ismah Nuh al-Jami' yang mereka hadis-hadis berhubung dengan fadhilat surah, konon katanya "Sesungguhnya aku merekanya disebabkan untuk menggalakkan orang ramai membaca al-Quran, kerana mereka terlalu tertumpu kepada sirah-sirah Nabi SAW .Dia melupai perbuatannya itu adalah perbuatan yang haram dan menjerumuskan dia ke dalam api neraka. Maka dengan itu hendaklah kita mengambil pengajaran dan pengiktibaran-janganlah kita memudahkan -mudahkan dalam membaca sesuatu hadis terutama yang berhubung dengan fadhilat-fadhilat surah. Hendaklah terlebih dahulu kita merujuk kepada ahli-ahli dan pakar dalam bidang hadis, atau merujuk kepada huffaz iaitu orang-orang yang menguasai bidang hadis yang terdiri daripada para ulamak silam dan para pengkaji hadis yang menguasai bidang ini , sepertimana yang disebut oleh Syeikh Syu'ib al-Arna'ud (ketika mentahqiqkan kitab besar oleh Imam Zahabi), katanya, "Tidak halal bagi seseorang meriwayatkan hadis-hadis Nabi, melainkan hendaklah dipastikan terlebih dahulu daripada huffaz bahawasanya hadis itu kedudukannya adalah thabit, iaitu pasti daripada Nabi SAW."
|
posted by abu zaid @ 11:37 PM  |
|
|
|
| Israiliyyat: Penceramah mencemarkan al-Quran |
Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
MELIHAT sesetengah penceramah di dalam atau di luar televisyen berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari mana dikutipnya amat merisaukan hati. Sebahagian kisah itu tidak mempunyai sandaran agama yang diiktiraf dari segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya Israiliyyat.
Lebih malang, sebahagian kisah itu seperti mitos atau kartun. Apabila dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama yang agung itu. Secara umum Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Riwayat-riwayat tersebut terselit atau disebut dalam buku-buku umat Islam.
Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat membezakan antara Israiliyyat.
Dunia semakin canggih. Banyak perkara yang tidak wujud pada generasi lalu, adalah kenyataan hidup generasi hari ini. Sikap, pendirian dan pendekatan juga berubah. Dahulu apa yang dinyatakan oleh orang-orang tua tidak dibantah. Hari ini barangkali tidak. Mungkin dalam sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’.
Dahulu cakap orang bergelar ustaz atau tok guru tidak dibantah, bahkan dianggap berdosa jika melawan. Perbuatan ustaz/ tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘Tuhan’ . Ucapan mereka diterima bulat- bulat, bagaikan rasul maksum.
Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ syirik, namun kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat Melayu. Tepung tawar pelepas bala yang mempunyai nilai-nilai syirik dilakukan.
Sebabnya kerja ini ‘difrancais’ oleh ustaz atau tok guru. Perkara yang ‘sewaktu dengan semua itu’ bukan sedikit telah berlaku namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang pupus. Hari ini dunia lebih moden. Pendidikan dan pengetahuan moden menuntut setiap perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka.
Dahulu barangkali ustaz boleh menceritakan berbagai-bagai riwayat Israiliyyat dengan selesa sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak nabi diperkatunkan. Hari ini kisah-kisah itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘kancil’, tetapi tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan nabi. Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharam atau asyura bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dan berkempen orang ramai memasak bubur itu.
Hari ini generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai chef untuk memperkenalkan resipi bubur. Baginda seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar. Dahulu barangkali seorang ‘ustaz’ bercerita dengan bebas jampi penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini ia tentu dipertikaikan. Dahulu berdasarkan cerita sesetengah ustaz atau lebai, ada yang ikut mempercayai “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”
Pengetahuan moden menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini: “Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78.)
Kata Abu Syahbah : “Ini adalah rekaan ahli kitab bertujuan menghina para rasul” (Abu Syahbah, Al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al- Tafasir. m.s 305)
Malangnya, ada golongan agama dahulu percaya dunia berada di atas tanduk lembu dan lembu berada atas ikan nun seperti yang ditambah dalam riwayat palsu lain. Ini menyanggahi hakikat, bumi terapung- apung di angkasa. Kita menyeru kepada tajdid (pembaharuan). Kita menentang hal ini. Kita katakan, kelemahan pengetahuan orang ramai masa kini untuk membezakan antara isi al-Quran dengan riwayat Israiliyyat boleh membawa mereka salah faham terhadap al-Quran dan ragu-ragu terhadap inti kandungannya. Tambahan pula, pengetahuan manusia moden banyak menolak bentuk khurafat.
Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kaedah jelas dalam membezakan antara kisah-kisah yang termuat dalam buku- buku tafsir dan kisah-kisah al-Quran yang asal. Mereka akhirnya menghidangkan kisah-kisah lucu yang bertentangan dengan fakta sains seperti contoh di atas.
Kata guru saya iaitu seorang tafsir yang terkenal Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi : “Telah berlaku kesalahan sebahagian pengkaji, penulis dan penceramah daripada kalangan Muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi metodologi yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai-bagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak lebih daripada kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ia adalah al-israiliyyat dan kisah-kisah ahli kitab”.( Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, Ma‘a Qasas al-Sabiqin fi al-Quran 1/31)
Di saat dunia semakin canggih dan moden, kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya.
Ini membuktikan, Islam dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan, tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan. Islam yang tulen tetap utuh kerana mesej dan tujuannya tidak dicemari kekarutan.
Inilah mesej al-Quran dan sunah yang sahih. Fokus kisah-kisah al-Quran adalah pengajaran, bukan untuk melalut dan meracau dalam perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pengajaran.
Kisah Luqman umpamanya, al-Quran hanya menyebut sesuatu yang bermanfaat. Firman Allah, Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada ALLAH (akan segala nikmat-Nya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Luqman: 12)
Demikian insan apabila membaca ayat ini tahu pengajaran yang dapat dicontohi dari Luqman ialah bersyukur dengan kurniaan kebijaksanaan yang Allah berikan.
Selepas ayat ini, Allah menceritakan nasihat-nasihat Luqman kepada anaknya. Antaranya nasihat berkualiti yang terbit daripada orang yang diberikan hikmah. Hikmah itu membawa insan mengenali hakikat kebaikan yang tulen. Ini terserlah dalam isi kandungan nasihat-nasihat tersebut. Nasihat-nasihat itu juga adalah sukatan pendidikan bermutu dan tepat.
Namun Israiliyyat menyibukkan pembaca al-Quran dengan perkara-perkara lain dari ini semua. Menurut Israiliyyat, Luqman ialah lelaki hamba abdi berketurunan Habsyi, seorang yang pendek, hidungnya penyek, bibirnya tebal, lebar tapak kakinya dan berbagai-bagai lagi. (lihat: Salah al-Khalidi, Ma’ Qasas al-Sabiqin, 3/150)
Tambahan Israiliyyat hanyalah memalingkan pembaca al-Quran daripada tujuan utamanya yang menghidangkan kisah itu sebagai pengajaran dan pengiktibaran. Apakah faedah besar untuk pembaca al- Quran jika dia mengetahui Luqman berkulit hitam, berbangsa Habsyi, berhidung penyek? Apakah dia boleh meniru itu semua jika Allah mentakdirkannya berkulit putih, berhidung mancung dan tidak berbangsa Habsyi? Apakah itu tujuan kisah yang dibawa? Atau tujuannya mengisahkan seorang hamba Allah yang diberi hikmah dan diperintahkan bersyukur kepada Tuhannya? Lalu dipersembahkan hikmah dan syukur itu dalam suatu sukatan pendidikan yang membentuk insan yang rabbani.
Kata Salah al-Khalidi dalam karangannya yang lain: “Cerita dan sebutan al-Quran mengenai umat terdahulu, kisah-kisah dan berita mengenai mereka bukan dengan cara pendetilan huraian. Al-Quran tidak mendetilkan tentang masa, atau tempat, atau watak, atau memperincikan cerita. Tidak diceritakan setiap kejadian, atau episodnya, atau bahagian-bahagiannya. Ia tidak pula melengkapkan (setiap episod), mendetil, menghuraikan dengan panjang lebar peristiwa-peristiwa yang berlaku, setiap pergerakan watak-wataknya dan latar belakang peristiwa. Al-Quran tidak melakukan ini semua. Ini kerana bukan tujuan al-Quran untuk mendetilkan kisah-kisah tersebut. Sebaliknya tujuan al-Quran untuk membentangkan kebenaran dan menentukan nilaian dan pemikiran, mengambil pengiktibaran, pengajaran dan panduan. Juga mengambil manfaat dari panduan- panduan yang terdapat dalam kisah- kisah tersebut. Ini semua terlaksana dengan kadar dan cara yang telah dibentangkan oleh al-Quran.
Para pembaca dan pengkaji al-Quran yang mengambil riwayat Israiliyyat dan cerita-cerita dongeng sepatutnya berpegang dengan tujuan al-Quran bagi kisah- kisah umat yang lalu. Mereka tidak sepatutnya mengambil sumber-sumber yang berasal dari manusia bersifat lemah dan jahil. Lalu mereka mencari pendetilan apa yang diterangkan al-Quran secara umum, cuba menjelaskan apa yang al-Quran samarkan dan menceritakan apa yang al-Quran diamkan. Alangkah baiknya jika mereka ini dapat mencari dari sumber yang dipercayai. Malangnya mereka mencari dari sumber yang diselewengkan, dusta (Israiliyyat) dan mengambil daripada manusia kafir lagi zalim yang menyelewengkan agama mereka (Yahudi).” (Al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fattah, Mafatih li Taa’mul ma’ al-Quran, m.s. 85)
Di zaman kini, manusia banyak mengkaji dan mengetahui perkara-perkara baru. Masa untuk membaca al-Quran terganggu dengan urusan dan kerja yang sentiasa mengasak dan mendesak. Jika waktu terhad dibazirkan dengan kisah-kisah Israiliyyat, tentulah fokus yang wajib diberikan kepada inti asal al-Quran tergadai. Apatah lagi kisah-kisah Israiliyyat itu mencemarkan wajah agama di hadapan fakta sains.
Orang-orang Barat jika mereka tidak jelas antara Israiliyyat dengan inti kandungan asal al-Quran, boleh menyebabkan mereka menganggap Islam mengandungi ajaran-ajaran yang bercanggah dengan penemuan sains yang dibuktikan kebenarannya. Maka mereka akan memandang lekeh kepada Islam dan menolaknya. Apa tidaknya, jika mereka mendengar sesetengah ‘ustaz’ di Malaysia menyatakan umur dunia 7,000 tahun sedangkan para saintis menyatakan ia sudah mencapai jutaan tahun.
Mereka akan tertanya: Inikah Islam yang bersumberkan wahyu yang sebenar? Sedangkan mereka tidak tahu bahawa itu semua adalah riwayat Israiliyyat. Abu Syahbah menyatakan bahawa riwayat yang menyatakan Nabi melihat usia dunia berusia 7000 tahun adalah Israiliyyat dan dusta, tidak ada kaitan dengan Islam.( Lihat: Muhammad Muhammad Abu Syahbah, Al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau al-Quran wa al-Sunnah, 1/14)
Benar seperti kata Dr.Yusuf al-Qaradawi: “Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di medan tafsir ialah meresapnya Israiliyyat, dan sukar pula untuk dibersihkan.” Katanya juga: “Seakan-akan Yahudi ketika tentera mereka tewas di hadapan dakwah Islam di Madinah, Khaibar dan selainnya, maka mereka cuba menghadapi Islam dengan senjata yang lain sebagai ganti kepada kekalahan mereka. Demikian itu ialah senjata peperangan pemikiran. Lalu mereka memasukkan riwayat Israiliyyat yang pelik-pelik. Dalam kecuaian, maka tidak sampai sekejap, lalu Israiliyyat telah mencekik kitab-kitab kaum Muslimin”.( Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da‘iyyah, 41).
Nafas baru perlu diberikan kepada penafsiran al-Quran demi generasi baru. Nafas itu membawa kita kembali kepada wajah Islam yang asli dan tulen. |
posted by abu zaid @ 11:08 PM  |
|
|
| May 16, 2008 |
| Amalan Jahiliyyah dianggap Amalan Agama |
 Oleh : Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ruangan Tazkirah, Harakah.
Kesetiaan insan terhadap ALLAH swt diikat dengan sebuah perjanjian dua kalimah syahadah, dengan itu manusia seolah-olah seorang kontraktor yang telah menandatangani perjanjian untuk sesuatu tender bagi melaksanakan suatu projek yang besar. Kesempurnaan projek yang telah dipersetujui bergantung sejauh mana ia memenuhi syarat-syarat dan juga plan yang telah ditetapkan.
Dalam ertikata lain bahawa keimanan seseorang hanya akan diiktiraf oleh ALLAH apabila ia melaksanakan ikrar. Dengan melaksanakan segala peraturan yang ditetapkan di dalam syariat islam. Sekiranya perlaksanaan tidak memenuhi syarat rukun yang digariskan oleh syariat, bererti mereka tidak melaksanakan ikrar sebagaimana kontraktor yang melakukan kerja binaan tanpa merujuk kepada plan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Setiap orang mukmin bukan sahaja mereka menghayati kehendak kedua kalmah syahadah yang telah diikrarkan tapi juga mereka sentiasa membaharui ikrar disetiapkali mendirikan solat. Mereka bersumpah setia bahawa segala urusan kehidupan mereka samaada dalam urusan ibdah, siasah, muamalah, nikah kawin dan lain-lainnya. Hatta kepada perkara yang bersangkutan dengan mati, hubungan orang yang hidup dengan orang yang telah mati. Manusia berjanji akan menguruskannya menurut kehendak ALLAH yakni dengan mematuhi syariat ALLAH.
Jesteru itu dalam memperkatakan hal-hal yang berhubung dengan soal kematian iaitu penyelenggaraan dan hubungan dengan penghuni alam berzakh, maka manusia tidak perlu mengambil atau meniru tradisi dan budaya jahiliyyah. Segala kaifiat dan cara menguruskan jenazah telah dijelaskan oleh sunnah Nabi s.a.w.
Adalah sangat malang bagi masyarakat pak turut mereka sering melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai alasan Nas atau Dalil samaada dalil al-Quran atau sunnah. Mereka melakukan perkara yang bercanggah dengan petunjuk Rasulullah, mereka melakukan secara turun temurun, berdasarkan bahawa perkara itu dilakukan oleh ibu bapa dan nenek moyang mereka.
Terdapat orang yang berusaha dan membelanjakan wang yang banyak untuk menunjukkan bukti kasih sayang mereka terhadap ibu bapa mereka yang telah mati atau suami serta isteri yang meninggal dunia, ada diantara mereka mendirikan bangunan atau binaan dari batu mar-mar yang mahal lalu mereka menganggap bahawaitu bukti kasih sayang mereka.
Padahal binaan yang mereka dirikan itu tidak memberi sebarang erti kepada orang yang telah mati, ia bukan sahaja suatu perbuatan sia-sia yang membazir, malah perbuatan itu dianggap oleh islam sebagai perbuatan jahiliyyah.
Panduan
Islam telah menggariskan panduan yang sangat mudah bagi seorang anak, suami atau isteri yang hendak menyatakan rasa kasih sayang terhadap mereka yang telah berada di alam Barzakh itu dengan cara mendoakan mereka semoga ALLAH ampunkan dosanya, dihindarikan dari segala pancaroba dan huru hara di alam kubur. Mudah-mudahan ALLAH s.w.t. kurniakan ke atas ruhnya sepenuh rahmat agar tanah perkuburan itu menjadi tempat istirehat yang aman sebelum mereka dimasukkan ke dalam syrga ALLAH di akhirat kelak.
Pengarang kitab at-Tazkirah iaitu al-Qurtubi dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah. Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan.
Sesungguhnya ia adalah dari perbuatan jahiliyyah.
Kenyataan ini mungkin agak keras dan pahit boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah. Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah.
Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian.
Elok juga dijelaskan di sini bahawa tidak ada manusia lebih mengasihi dan sayang terhadap orang lain yang mengatasi kasih-sayang Nabi s.a.w. terhadap umatnya. Carilah di dunia ini jika ada manusia yang lebih sayang terhadap orang lain atau terhadap ibu bapa mereka jika dibandingkan dengan kasih sayang Nabi terhadap umatnya. Walaupun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.
Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w. ? jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.
Sejarah menunjukkan bahawa sebelum Islam datang ke tanah melayu, orang-orang melayu telah menganut agama hindu. Jesteru itu terdapat banyak tradisi dan budaya hindu yang masih terdapat dalam amalan orang melayu.
Contohnya apabila orang Islam mengadakan upacara nikah, mereka lakukan menurut islam berdasarkan rukun nikah seperti yang ditetapkan oleh syariat. Tapi selepas itu mereka mengadakan upacara persandingan dengan upacara menepung tawar, menabur beras kunyit dan sebagainya, sedangkan persandingan dan segala tradisi tersebut adalah dari kebudayaan hindu.
Demikianlah samaada disedari atau tidak sebahagian besar orang melayu telah mencampur adukkan Islam dan kebudayaan hindu dalam urusan nikah kahwin adalah menjadi perkara lumrah dalam masyarakat melayu. Maka demikian juga orang melayu telah secara sedar atau tidak telah mengambil tradisi jahiliyyah dalam pengurusan mayat.
Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya. |
posted by abu zaid @ 12:02 AM  |
|
|
|
| about me |
|
|
| artikel |
|
| Archives |
|
|
::Egypt::
|